Terbaca kata-kata Imam Syafi'ie "Marah adalah satu antara panah-panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu, hindari marah supaya kamu dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya."
(30 Wasiat Imam Syafi'ie, Khairul Razali)
Hari ini ada sesuatu yang menimpa diri dan marah melanda diri. Astaghfirullah. Lemahnya diri ini.
Sentiasa memohon keampunan segala dosa yang dilakukan pada hari ini . Kerana kita manusia lemah, terkadang kita terlupa dan kepadaNya kita berserah.
Seringkali kita berhadapan dengan situasi ini dan bimbang dengan kemarahan kita akan menyakiti jiwa orang lain. Sebagai contoh, kita kecewa dengan sikap atau tingkah laku seseorang terhadap diri kita. Dan kita rasa marah dan kadangkala bercampur dengan sedih. Dugaan kan?
Ianya adalah satu cabaran dalam kehidupan.
Apabila kita marah, maka afdhal atau seelok-eloknya berdiam. Istighfar dan berfikir. Untuk apa dimarahi, siapa kita untuk memarahi. Sukar kah perkara yang mahu dihadapi itu? Apa natijahnya kita dapat? sememangnya itu sifat syaitan yang mahu menjatuhkan kita dengan kemarahan yang ditiup ke dalam hati kita.
Diriwayatkan Abu Hurairah r.a bahawa ada seorang lelaki berkata: " Berilah aku pesan." Rasulullah bersabda: Jangan Marah. Lelaki itu mengulangi beberapa kali minta supaya dipesan. Namun baginda masih tetap berkata: "Jangan Marah!" (Riwayat Bukhari)
Nasihat atau pesanan Rasulullah terhadap sahabatnya adalah jangan marah. Bermakna perkara itu perlu dititik beratkan. Rasulullah adalah sebaik baik contoh atau role model.
Dalam kita berdiam dan berfikir ketika kita menahan marah, terdetik rasa bersalah, maka Allah sedang berbicara dengan kita bahawa "marah" itu adalah salah satu sifat mazmumah dan boleh memberi kesan kepada sekeliling kita juga tubuh badan kita. Maka Istighfarlah, kerana Istighfar pembuka kesulitan dan ketegangan.
Dalam kita berhadapan dengan kesulitan dan kepayahan, ingatlah Allah. Kita adalah hambaNya dan manusia yang lemah yang sentiasa bergantung kepadanya. Udara, kehidupan yang dimiliki, kesihatan dan sebagainya semua daripada Allah. Maka tidak berhak kita memarahi.
*sambil dengan lagu UNIC Syukur-syukurlah.
Sebagai umat Islam, Nabi S.A.W. menyarankan kita beberapa teknik bagaimana untuk mengawal sifat marah dan ini sememangnya berkesan. :)
1) Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya marah adalah secebis api yang dinyalakan di dalam hati. Tidakkah engkau melihat kepada kedua-dua matanya yang merah dan urat-urat lehernya yang menggelembung? Maka apabila salah seorang daripada kamu berasakan sesuatu dari yang demikian, maka rapatkan diri kamu ke muka bumi( duduk menenangkan diri atau sujud kepada Allah). (Riwayat Al-Baihaqi)
Duduk dan bertenang. Solat.
2) Rasulullah S.A.W. bersabda: "Apabila seseorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia mengambil wudhuk, maka sesungguhnya marah itu daripada secebis api." (Riwayat Abu Daud)
Pergi bilik air atau sinki, paling kurang basuh muka.
Antara langkah mengawal dan mendidik diri supaya lebih bersifat tenang.
a) Cuba pertimbangkan keadaan yang menyakitkan hati. Fikirkan sama ada kemarahan kita itu mempunyai alasan kukuh atau tidak.
b) Janganlah menyalahkan orang lain. Kemungkinan ianya berpunca daripada diri kita sendiri. Refleksi diri.
c) Apabila marah, amalkan membaca " رب أعوذ بك من همزات الشياطين وأعوذ بك أن يحضرون"
Maksudnya: Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMua dari hasutan syaitan-syaitan, dan aku berlindung kepadaMu wahai tuhanku agar syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku.
(Al-Mukminun:97-98)
"Dan (bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan keji, apabila mereka marah mereka memberi maaf." (Al-Syura: 37)
Maafkanlah orang yang membuatkan kita marah, Allah suka :)
"Jika kalian tidak menyukai mereka maka bisa kalian membenci sesuatu padahal Allah menjadikan kebaikan yang banyak padanya."(An-Nisa':19)
Mungkin perkara yang kita tidak sukai yang menyebabkan kita marah, Allah jadikan kebaikan yang terlindung daripadanya. Mana tahu kan? :)
Banyak ayat-ayat al-Quran yang menjadi pendorong agar dapat menghindarkan diri dari sifat ini. Marah boleh mengundang perkara yang tidak elok akan datang. Lapangkan dada dan mohonlah ampun kepada Allah S.W.T. Moga setiap peristiwa yang menimpa dapat kita ambil ibrah(pengalaman) di kemudian hari.
Wallahu a'lam. Allah maha tahu. Moga tinta ini bermanfaat dalam kehidupan kita seharian. In syaa Allah :)
No comments:
Post a Comment