Sunday, April 26, 2015

Berlari mencari diri

Kemudian Kami jadikan kamu (Muhammad) mengikuti syariat (peraturan) daripada agama itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui.
(Al-Quran, Al-Jathiyah 45:18)

Al-Quran ditutup sambil tangan mengepilkan dan menunduk.
Meleleh air mata. Jauh ku pergi. Allah sudah menyusun kalamNya supaya kita hayati dan mengingati. Kembali sedar dan teriak. Sementara itu...(throwback)

Kaki terus berlari. Berlari. Ingin mencapai buih yang terbang.



Tiba-tiba terpelecok. Buih hilang. Ibu jari kelihatan berdarah.
Allah. Apa yang telah aku buat? Teringat, kenapa aku mengejarnya? Terlalu leka mungkin.
Allahu akbar. *menangis. Ampunkan daku ya Allah.

Allah telah merencana diri lahir dalam keadaan Islam. Ayah telah iqamat di telinga kiriku dua puluh tiga tahun yang lalu. Ibu telah mendodoikan daku dengan alunan zikrullah sewaktu diriku kecil. Namun apabila besar, mengikut kehendak hati ingin pergi dengan bebasnya tanpa ada halangan dan penghadang.


Sejauh mana kita berlari, Allah tahu kamu perlukannya. Pulanglah.

Friday, April 24, 2015

Yakin dengan CintaNya

Allah sememangnya pemilik cinta. Berilah cintamu kepada pemiliknya agar Dia berikan cintamu itu kepada yang berhak memilikinya. Kecewa, sedih, resah tidak akan sentuh hatimu jika dirimu meletakkan Allah sebagai satu-satu nya cinta pertamamu.

Bagaimana hendak meletakkan cinta Allah cinta pertama?

Hayati cintaNya. Tadabbur kitabNya. Kita akan lihat, betapa banyaknya nikmat Allah beri. Tidak terhitung banyaknya. Oleh itu, penuhilah suruhannya, jauhilah larangannya. Akan ada hikmah dan ganjarannya.

Bila kita sedih, Allah bagi ganti yang baik. Bila kita sesal berbuat dosa, Allah ampunkan. Banyak nikmat Allah berikan pada kita yang kita terlepas pandang. Mungkin kerana terlalu asyik dengan kenikmatan yang dikecapi lantas terlupa pemilik nikmat. Allah, ampunkan dosa kami.

Ya Rabb, aku telah menzalimi diriku, ampunilah aku.

Jagalah ketaatan diri kita kepadanya, nescaya tidak kau kenali erti kecewa kepada manusia.
Dunia tidaklah seindah yang kita bayangkan. Penuh dengan muslihat. Namun raihlah kebaikan yang ada di muka bumi ini, untuk kita hayati nikmat yang Allah beri.

Allah beri panduan pada kita, jika kita keliru, al-Quran dan Sunnah ada. Syariat Islam yang dibawa oleh Rasulullah adalah menyeluruh sehingga akhir zaman. Kita tidak akan sesat jika berpegang dengannya. Pelajarilah ia, untuk temui ketenangan.


Jika kita jaga asas ini, Allah akan pimpin untuk susuri jalan ini. Allah detikkan hati-hati yang dekat kepadaNya dengan membantu diri kita yang perlukan pertolongan. Sayangi diri sepertimana Allah menyayangi dirimu, wahai sahabatku. Allah sentiasa disisi. Jika gembira, ingatlah dia, jika sedih ingatlah dia sentiasa ada dan mendengar keluhan dirimu. Allah maha pemurah lagi maha penyayang. Senyum :)






Wednesday, April 22, 2015

Menahan Marah

Bismillah.

Terbaca kata-kata Imam Syafi'ie "Marah adalah satu antara panah-panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu, hindari marah supaya kamu dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya."
(30 Wasiat Imam Syafi'ie, Khairul Razali)

Hari ini ada sesuatu yang menimpa diri dan marah melanda diri. Astaghfirullah. Lemahnya diri ini.

Sentiasa memohon keampunan segala dosa yang dilakukan pada hari ini . Kerana kita manusia lemah, terkadang kita terlupa dan kepadaNya kita berserah.

Seringkali kita berhadapan dengan situasi ini dan bimbang dengan kemarahan kita akan menyakiti jiwa orang lain. Sebagai contoh, kita kecewa dengan sikap atau tingkah laku seseorang terhadap diri kita. Dan kita rasa marah dan kadangkala bercampur dengan sedih. Dugaan kan?
Ianya adalah satu cabaran dalam kehidupan.

Apabila kita marah, maka afdhal atau seelok-eloknya berdiam. Istighfar dan berfikir. Untuk apa dimarahi, siapa kita untuk memarahi. Sukar kah perkara yang mahu dihadapi itu? Apa natijahnya kita dapat? sememangnya itu sifat syaitan yang mahu menjatuhkan kita dengan kemarahan yang ditiup ke dalam hati kita.




Diriwayatkan Abu Hurairah r.a bahawa ada seorang lelaki berkata: " Berilah aku pesan." Rasulullah bersabda: Jangan Marah.  Lelaki itu mengulangi beberapa kali minta supaya dipesan. Namun baginda masih tetap berkata: "Jangan Marah!" (Riwayat Bukhari)

Nasihat atau pesanan Rasulullah terhadap sahabatnya adalah jangan marah. Bermakna perkara itu perlu dititik beratkan. Rasulullah adalah sebaik baik contoh atau role model.

Dalam kita berdiam dan berfikir ketika kita menahan marah, terdetik rasa bersalah, maka Allah sedang berbicara dengan kita bahawa "marah" itu adalah salah satu sifat mazmumah dan boleh memberi kesan kepada sekeliling kita juga tubuh badan kita. Maka Istighfarlah, kerana Istighfar pembuka kesulitan dan ketegangan.


Dalam kita berhadapan dengan kesulitan dan kepayahan, ingatlah Allah. Kita adalah hambaNya dan manusia yang lemah yang sentiasa bergantung kepadanya. Udara, kehidupan yang dimiliki, kesihatan dan sebagainya semua daripada Allah. Maka tidak berhak kita memarahi.
*sambil dengan lagu UNIC Syukur-syukurlah.

Sebagai umat Islam, Nabi S.A.W. menyarankan kita beberapa teknik bagaimana untuk mengawal sifat marah dan ini sememangnya berkesan. :)

1) Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya marah adalah secebis api yang dinyalakan di dalam hati. Tidakkah engkau melihat kepada kedua-dua matanya yang merah dan urat-urat lehernya yang menggelembung? Maka apabila salah seorang daripada kamu berasakan sesuatu dari yang demikian, maka rapatkan diri kamu ke muka bumi( duduk menenangkan diri atau sujud kepada Allah). (Riwayat Al-Baihaqi)

Duduk dan bertenang. Solat.

2) Rasulullah S.A.W. bersabda: "Apabila seseorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia mengambil wudhuk, maka sesungguhnya marah itu daripada secebis api." (Riwayat Abu Daud)

Pergi bilik air atau sinki, paling kurang basuh muka.


Antara langkah mengawal dan mendidik diri supaya lebih bersifat tenang.

a) Cuba pertimbangkan keadaan yang menyakitkan hati. Fikirkan sama ada kemarahan kita itu mempunyai alasan kukuh atau tidak.

b) Janganlah menyalahkan orang lain. Kemungkinan ianya berpunca daripada diri kita sendiri. Refleksi diri.

c) Apabila marah, amalkan membaca " رب أعوذ بك من همزات الشياطين وأعوذ بك أن يحضرون"

Maksudnya: Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMua dari hasutan syaitan-syaitan, dan aku berlindung kepadaMu wahai tuhanku agar syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku. 
(Al-Mukminun:97-98) 


"Dan (bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan keji, apabila mereka marah mereka memberi maaf." (Al-Syura: 37)

Maafkanlah orang yang membuatkan kita marah, Allah suka :)

"Jika kalian tidak menyukai mereka maka bisa kalian membenci sesuatu padahal Allah menjadikan kebaikan yang banyak padanya."(An-Nisa':19)

Mungkin perkara yang kita tidak sukai yang menyebabkan kita marah, Allah jadikan kebaikan yang terlindung daripadanya. Mana tahu kan? :)

Banyak ayat-ayat al-Quran yang menjadi pendorong agar dapat menghindarkan diri dari sifat ini. Marah boleh mengundang perkara yang tidak elok akan datang. Lapangkan dada dan mohonlah ampun kepada Allah S.W.T. Moga setiap peristiwa yang menimpa dapat kita ambil ibrah(pengalaman) di kemudian hari.

Wallahu a'lam. Allah maha tahu. Moga tinta ini bermanfaat dalam kehidupan kita seharian. In syaa Allah :)



Monday, April 20, 2015

Sabar Tatkala Putus Harapan

"Cukuplah Allah beri kekuatan untuk meneruskan langkah ini."

*Sambil menutup buku Ihya' Ulumuddin.
Terpandang bayt hadith ertinya:

"Barangsiapa keluar dari rumahnya pada menuntut ilmu, maka ia pada jalan Allah (fi sabilillah), sehingga ia kembali ke rumahnya." (Diriwayatkan At-Tirmizi dari Anas, hadith hasan gharib)

Allahu musta'an.

Terasa terseliuh, namun perkataan sabar seringkali dibisikkan di telinga.
Biarlah hati menyimpan segala kesukarannya. Kadangkala punya waktu kita tidak mampu, dan terkadang ada waktu kita keliru.

HasbunAllah wani'mal wakil, ni'mal maula wani'man nasir.

"Jangan mengaku beriman sebelum diuji". Tiba-tiba terpandang ayat tersebut ketika rasa kecewa dengan diri ini.

Mungkin teguran dari Allah.

Mana mungkin Allah biarkan diri terkapai apabila Dia telah letakkan diri sampai ketahap ini. Allah sebaik-baik perancang. Berdoalah.








Thursday, April 16, 2015

Muraqabatullah

"Kefahaman dan kesedaran pada kewujudan Allah S.W.T akan melahirkan sikap muraqabatullah, atau merapat kepada Allah S.W.T. Sekaligus membuatkan kita lebih komited dalam menjadi seorang Muslim yang baik. Muslim yang baik adalah manusia yang baik, kerana Allah S.W.T. tidak akan mengaturkan sesuatu yang tidak bermanfaat dan sia-sia.

Menghadirkan sikap muraqabatullah, akan membuatkan kita adalah melakukan sesuatu yang diredhaiNya. Kita tidak akan membazirkan masa dengan perkara yang merosakkan apatah lagi terfikir mengajak orang melakukan kerosakan.

Apabila kita melihat seorang muslim atau muslimah yang soleh atau solehah kita pasti tertanya-tanya apakah mekanisme yang membuatkan mereka kekal sedemikian rupa, Tidak, mereka bukan malaikat, dan tidaklah mereka tidak jatuh langsung. Namun apa yang kita perhatikan itu adalah hasil dari istiqamah, yang mana apabila mereka jatuh mereka akan segera bangkit semula. Sekiranya mereka jatuh berkali-kali, mereka tidak akan putus asa dan naik semula."

Petikan daripada buku "30 Hari Mencari Tuhan" karya Hilal Asyraf.

Membaca mengisi jiwa. Itulah yang dipraktikkan oleh Islam tentang kelebihan membaca sepertimana wahyu yang pertama diturunkan kepada Nabi S.A.W adalah "bacalah". Daripada Al-Quran sehinggalah buku-buku ilmiah yang dapat memberi pengetahuan dan kesedaran terhadap diri.

Dalam mengislah diri, perlu kepada membaca. Kerana dari situ timbul rasa ingin tahu lebih. Mengapa ini, bagaimana ini, apakah ini dan sebagainya.

Kini, baru daku sedar tentang pentingnya membaca lagi-lagi bahan bacaan yang mendekatkan diri mengenal pencipta. Allahu a'lam.


Thursday, April 9, 2015

Jadual Padat, Masa Tenat

Salam sejahtera ke atas sekalian yang sudi membaca blog ini.

Post kali ini hanya menceritakan kehidupan penulis sejak kebelakangan ni.

Selasa kelas Harta Pusaka Islam,
Rabu kelas Hadith dan Pembangunan Manusia
Khamis kelas Metodologi Dakwah dalam Al-Quran kemudian Ekonomi Islam
Jumaat kelas Kaedah Penyelidikan.

Post yang seterusnya in syaa Allah penulis akan cerita apa yang penulis belajar dalam kelima-lima subjek tersebut. Terasa masa sangatlah cepat dan kadang-kadang tak sempat nak buat banyak kerja dalam satu hari. Bila sibuk urusan dunia, sesekali terfikir, bila last pergi majlis ilmu? Bila last baca quran? Bila last baca buku agama? Dan banyak lagi. Bukan apa, tu semua akan menjadi aset akhirat kelak. Setakat mana bekalan kita nak bawa menuju pencipta. Kita tidak lari dengan dosa. Kullu bani adam khat'an. Setiap anak adam melakukan kesilapan. Tapi sejauh mana kita "kembali" ke jalanNya.

Allahu. Bila hati tidak disandarkan kepada tuhan, kita akan hanyut dengan tipu dunia. Ya, diibaratkan dunia tempat menuai, dan akhirat adalah tempat mengutip hasil. Sama konsepnya ibadah kita kepada Allah. Tidak dilupa hubungan dengan manusia. Maaf dari insan ini, kepada ibu ayah, saudara dan sahabat sekalian jika ada hak yang tidak tertunai.

Pernah penulis mengalami situasi dimana ada seorang hamba Allah yang menegur penulis, dan dia bertanya penulis ambil jurusan apa. Bila dijawab mengambil jurusan Syariah, dia memberi respon "Oh, ustazah ustazah lah ni" sambil ketawa. Mungkin niat untuk bergurau. Tapi perkara itu perlu dirai tidak ditertawa. Bukankah menuntut ilmu agama perlu ada dalam setiap individu, penting untuk dipelajari. Ilmu penting dalam pembangunan manusia mengenali pencipta, terkenang nikmatNya. Kerana setiap orang Islam yang mempunyai kudrat, wajib menuntut ilmu agama.

Wallahi ilmu Allah sangat luas. Jika diteroka satu persatu memang terasa banyak lagi yang tidak tahu. Namun jika Allah tahu niat dan keyakinan kita nak mencari ilmu Allah, maka in syaa Allah, Allah mudahkan setiap jalan. Bila baca al-Quran dan hadis, sangat banyak tentang kelebihan ilmu. Nasihat penulis, sebelum membaca buku-buku lain, tadabbur dulu bacaan al-Quran. Ayat-ayatNya sangat indah. Tiba-tiba teringat sewaktu di sekolah menengah, Ustazah bertanya apakah makna Al-Quran.

Al-Quran ialah kalam (kata-kata) Allah yang bermukjizat diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W. dengan lafaz arab dan diturunkan secara mutawatir(berperingkat) membacanya adalah ibadah.

Itulah makna al-Quran, sangatlah indah mengambil sedikit masa untuk tadabbur. Maka jiwa akan tenang dan lapang. Dan masa akan lapang juga In syaa Allah. Wallahu a'lam.

Moga Allah tunjukkan "laluan pulang". ( Jalan Pulangku | UNIC )

Monday, April 6, 2015

Tahalli Hati dengan Cinta dan IlmuNya

Bismillah. Dengan namaMu ya Allah yang maha pemurah lagi maha kasihkan hambaNya. Tiap rahmatNya disekeliling kita yang selalu dialpa namun Dia tetap mencukupkan. Segala Puji bagi Allah atas segala keadaan. Moga lisan dan hati kita sentiasa memujiNya. Maha suci Allah.

Di dalam firmanNya:

"Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan di dunia dan di akhirat" (Al-Quran, Yunus, 10:64)
Tahalli hati dengan cinta dan ilmuNya. Perkataan yang di ajar oleh seorang ustaz ketika saya menghadiri seminar "Untuk Kita Pendosa" yang memerlukan dua perkara agar jiwa bersih iaitu Takhliah (Proses mengosongkan daripada sifat mazmumah) dan Tahalliyah (mengisi ilmu dalam jiwa)

Penuhi atau isilah hati dengan CintakanNya dan mendambakan ilmuNya. Pelbagai Cara. Dengan izin Allah akan mendapat bimbingan perjalanan di dunia menuju akhirat.

"Kehidupan anak muda itu adalah dengan ilmu dan taqwa, melalui ilmu adalah datangnya taqwa. jika dua perkara ini tiada, maka tidak ada nilai orang ini.- Imam Syafi'ie.

In syaa Allah, blog ini sebagai catatan dan nasihat yang ingin dikongsi bersama agar kebaikan dan pahala dapat diraih bersama. Semua berhak membuat kebaikan.

"Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali(bisik-bisikkan) orang yang menyuruh bersedekah atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa berbuat demikian dengan maksud mencari keredhaan Allah, tentulah Kami akan memberinya pahala yang amat besar." (Al-Quran, An-Nisa, 4:114)

Selamat bermujahadah!:)