Sunday, July 31, 2016

Perkahwinan dan Musimnya

Perkahwinan. Dalam tengah tertidur, terjaga. Pantas tangan membuka laptop untuk menaip ilham.
Assalamualaikum WBT. sekian lama tak update blog, dan tetiba teringin nak update entry yang menjadi musim sekarang ini iaitu musim kahwin. hehe. Maaf pada sahabat sahabat yang menjemput untuk datang walimah, tetapi saya tidak dapat hadir dek kekangan masa dan keadaan, disaat penulisan disertasi sedang giat untuk disiapkan. Hanya mampu mendoakan kebahagian sentiasa dilimpahi buat pasangan yang sedang membina 'Beit Muslim' dan semoga diberi kekuatan menempuhi kehidupan. Aamin. 


Alhamdulillah, syukur bagi sesiapa yang telah dijemput jodoh pada waktu ini, dan pada yang lain, teruskan doa agar kita mendapat kehidupan yang baik. Rezeki manusia, berbeza. Ada yang rezekinya pada pekerjaaan yang baik terlebih dahulu, dan ada yang sebaliknya.  Semoga kita tidak mengeluh dengan kehidupan kita. Tetap syukuri nikmatnya. 


Jika terlalu kerap diuji, pintalah keampunan kepada Allah agar Allah ampuni diri kita dari dosa yang melindungkan kita dari rahmat Allah. 
Post kali ini saya highlight kan tentang perkahwinan, untuk meraikan sahabat-sahabat lain yang sedang membina ‘masjid’ dalam erti kata lain, menyempurnakan separuh agama. Ianya salah satu nikmat Allah SWT buat manusia:

ثلاثةٌ حقٌّ على اللهِ عونهم : المجاهدُ في سبيلِ اللهِ ، والْمُكَاتَبُ الذي يريدُ الأداءَ ، والناكحُ الذي يُرِيدُ العفافَ

Maksudnya:
”Tiga manusia yang berhak akan mendapat pertolongan Allah SWT, iaitu:
Orang yang berperang di jalan Allah SWT, hamba Mukatab yang bermaksud untuk menunaikan bayaran untuk pembebasannya serta orang yang berkahwin kerana hendak menyelamatkan dirinya dari perbuatan keji
(Hadis Riwayat Ahmad, al-Nasaie, al-Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim)




Rasa kahwin ni terbit apabila dua individu saling suka sama suka untuk membina mahligai bersama. dan, ada pula keadaan apabila dua individu bersetuju untuk berkahwin sama ada, melalui orang tengah, ataupun sesama mereka. 

Perbuatan ini dibenarkan syarak, apabila seseorang Muslim sudah berazam hendak berkahwin, dan niatnya sudah tekad untuk meminang seorang wanita, dia perlu mengenali wanita itu terlebih dahulu agar terselamat dari salah lamaran dan terjatuh kepada keputusan yang salah yang akan berlaku perkara yang tidak diingini (Al-Qardhawi 2015).



Tapi sebelum itu, perlu kepada memahami konsep perkahwinan dalam Islam terlebih dahulu, agar hati kita bersedia menempuhi semua, dari sebelum berkahwin, semasa majlis, dan selepas kahwin. Perkahwinan ini sebenarnya, kita mengangkat sunnah Rasulullah SAW yang menggalakkan kita meramaikan umat Nabi Muhammad SAW untuk menegakkan Syariat Islam agar terus diamalkan sehingga akhir zaman. 

Wanita punyai hak untuk memilih bakal suami yang beriman dan beramal soleh. Ini kerana, pemilihan ciri-ciri ‘beragama’ sangat penting kerana apabila individu tersebut tahu tanggungjawab dia dengan Allah SWT, dan secara automatik dia akan tahu tanggunjawab dia sesama manusia khusus kepada insan yang dibawah tanggungjawabnya. Perkara ini Allah SWT telah jelaskan dalam firmanNya:

Maksudnya:
“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui." (Surah An-Nuur 24:32)


Islam menggalakkan agar mencari orang yang soleh dan mentaati agama. Namun, untuk mencari yang soleh, kita mesti berusaha menjadi yang solehah. Dan jangan risau tentang rezeki selepas berkahwin, kerana jaminan  Allah SWT kepada orang yang berkahwin ni, kecukupan rezeki. Jangan pernah ragui. Tanda beriman dengan kitab Allah. Salah satu cabang rukun Iman. Dan diantara sifat-sifat yang dituntut antara suami dan isteri adalah:

1. Agama
2. Keturunan yang baik
3. Bukan dari kalangan kerabat/ saudara terdekat
4. Perawan
5. Subur
6. Sekufu

Sebelum berkahwin, persediaan perlu dilakukan agar kita dapat berhadapan dengan sesuatu dengan matang dan berhemah. Ujian ada dimana-mana, hatta di alam menuntut ilmu, alam pekerjaan apatah lagi perkahwinan. Oleh sebab itu, penting persediaan terutamanya persediaan dari segi agama dan yang berkaitan dengannya. Membaca bahan bacaan yang memberi manfaat dalam kehidupan boleh membantu kita dapat membentuk keluarga yang sakinah (ketenangan) mawaddah (kebahagiaan) dan rahmat (kasih sayang). 

Dan perlu juga bersedia, manusia ini sifatnya tidak sempurna. Cari yang tidak sempurna itu, untuk kita lengkapkan. Nasihat, bukan pinggirkan. Semoga kita menjadi orang yang sentiasa memberi kebaikan kepada orang disekeliling kita. Jum amalkan doa ni dalam surah Ali Imran 3: 193:

Maksudnya: "Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti;"


Perkahwinan merupakan instrumen pembinaan keluarga kerana ia asas atau permulaan kepada sesebuah masyarakat Secara tradisinya setiap pasangan individu yang ingin memulakan dan membina sebuah keluarga bersama perlu melalui fasa perkahwinan. 



Justeru, berdoalah. Pintalah Allah beri yang terbaik dan tunjukkan pada diri kita. Moga kita berusaha kearah menjadi pasangan suami isteri yang berilmu dan beramal. Saling memberi dan menerima. Alf Mabruk pada sahabat-sahabat yang telah mendirikan rumah tangga, menimang cahaya mata, dan tak lupa juga kepada yang bakal berkahwin. semoga kita menjadi salah seorang yang mengagungkan syariat Islam yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW. 

الدُّنيا متاعٌ، وخيرُ متاعِ الدُّنيا المرأةُ الصَّالحةُ

Maksudnya:” Dunia merupakan perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan di dunia ialah wanita yang solehah” (Hadis Riwayat Muslim)

Tetiba berangan nak macam ni kan? ;) Moga-moga. #ehhhhh


Semoga post bermanfaat buat pembaca ;) Wassalam.





Thursday, November 19, 2015

Dalam Pertemuan Tercipta Kenangan

Bismillah. Senantiasa dalam anganku,

Agar setiap detik indah kembali.
Untuk menggambarkan kembali wajah-wajah manis disisi. Tempoh Masters of Degree di UKM, sangat memberi kenangan yang indah dengan kehadiran insan-insan yang sentiasa menggembirakan dan menyenangkan. Walaupun hanya Allah yang tahu bebanannya.

Syukur tak terucap. Nikmatmu lengkap. Alhamdulillah.

Monday, October 19, 2015

Andai Aku Kau Pilih

Andai aku kau pilih,
Didiklah hati dan diri ini menjadi terbaik di hadapan Tuhan.

Andai aku kau pilih,
Berilah hatimu yang tulus untuk mengasihi.

Andai aku kau pilih,
Fahamilah erti amanah dan tanggungjawab dari kitab Rabbul Jalil.

Andai aku kau pilih,
Warnailah kehidupan dengan sunnah-sunnah yang kau telah pelajari.

Andai aku kau pilih,
Jangan nilai kesempurnaan di hadapanku dengan zat yang lain.

Andai aku kau pilih,
Pimpinlah diri ini mengenal erti rahmat Allah yang luas.

Andai aku kau pilih,
Pujuklah diriku dengan janji Allah yang satu.

Andai aku yang kau pilih,
Berjanjilah agar kau pelihara hukum Tuhan.




Sunday, May 24, 2015

Kita Masih Punya Allah

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Dalam kisah Nabi Musa Alaihissalam, Allah SWT mengisahkan tentang bagaimana orang yang merasakan dirinya bertuhan, bilamana berdepan dengan masalah.

Dan ini menjadi iktibar bagi kita, sebagai seorang beriman dan bertuhankan Allah SWT untuk tidak bersandar kecuali kepada Allah SWT dalam apa sahaja permasalahan. Walaupun semua makhluk tidak mampu untuk selesaikan. 

Nabi Musa Alaihissalam ketika membawa Bani Israil untuk diselamatkan daripada seksaan dan penindasan daripada Fir'aun, Ketika dibawa oleh Nabi Musa, apabila sampai ditepi lautan, Fir'aun yang menyedarinya, mempersiapkan kekuatan tenteranya yang luar biasa, dengan kekuatan senjatanya yang lengkap, mengejar kepada Nabi Musa dan Bani Israil. Apabila jumpa, mereka berada di tepi laut,
sementara itu, Fir'aun mengejar mereka bersama tentera-tenteranya.





Apa kata Bani Israil?

إنا لمدركون

Maksudnya: "..kita akan dapat dikejar" (Surah al-Syu'araa: 61)

Apabila di hadapan mereka laut dan dibelakang adalah Fir'aun dan tenteranya sedang mengejar mereka. Kami sudah ditangkap. Kami sudah tidak dapat lari.


Masalah.
Ikut logik, apabila maju, mati. Mundur pun mati.

Akan tetapi mentaliti orang beriman apabila berhadapan dengan masalah, tidak mengedepankan logik. Tidak mengedepankan akal. Bahkan mengedepankan Tuhan yang menciptakan akal. 

Apa kata Nabi Musa Alaihissalam sesudah itu?

كلا إن معي ربي سيهدين

Maksudnya: "..sekali-kali tidak akan (dapat dikejar), sesungguhnya Tuhanku bersamaku, Dia akan memberi petunjuk kepadaku" (Surah al-Syu'araa: 62)

(Aku tidak melihat dihadapanku lautan, dan aku tidak melihat belakangku Fir'aun dan tenteranya, aku tidak melihat segala permasalahan dengan mata iaitu mesti akan terjadi mengikut apa yang dilihat. Semua ini tertakluk kepada Allah SWT.

كلا إن معي ربي سيهدين

Maksudnya: "..sekali-kali tidak akan (dapat dikejar), sesungguhnya Tuhanku bersamaku, Dia akan memberi petunjuk kepadaku" (Surah al-Syu'araa: 62)

Bersama denganku adalah Tuhanku. Yang berkuasa berbuat apa sahaja kepada lautan, berkuasa berbuat apa sahaja kepada Fir'aun dan tenteranya.

Ini adalah bahasa Iman.

Kepada orang yang merasakan jiwanya bertuhan.
Maka dia sentiasa mnegdepankan kekuatan Tuhan berbanding dengan kekuatan bukan dirinya sahaja hatta seluruh makhluk. 

Berapa banyak secara zahir diberikan kemenangan yang diberikan dan ditunjukkan oleh Allah kepada kaum Muslimin bukan kerana kekuatan mereka, tetapi kekuatan yang diberikan oleh Allah SWT.

Allah SWT memerintahkan kepada Nabi Musa, "Wahai Musa, pukullah lautan dengan tongkatmu"

Ikut hukum logik juga berapa banyak Allah SWT tunjukkan di dalam al-Quran, terbatalnya hukum logik, akan tetapi ramai manusia masih mempertahankan hukum logik dalam segala hal. Hukum akal dari segala hal. Tidak masuk diakal.

Maka disuruh oleh Allah SWT kepada Nabi Musa Alaihissalam memukul lautan dengan tongkatnya. Lalu apa yang berlaku?

فانفلق
Maksudnya: "...maka terbelahlah..." (Surah al-Syu'araa: 63)

Lalu menjadilah air tiap-tiap bahagian yang terbelah itu terangkat seperti gunung yang besar. Maka berjalanlah Nabi Musa dan Bani Israil melalui laut yang terbelah itu.


Sekadar hiasan

Orang yang bertuhan berbeza dengan orang yang tidak bertuhan.

Orang yang bertuhan sentiasa mengembalikan segala masalah kepada Tuhannya. Manakala orang yang tidak bertuhan akan mengembalikan segalanya kepada dirinya sendiri, sekiranya tidak dapat menghadapi masalah maka dia mengambil jalan pintas.

Maka, setiap perkara, haruslah direnungi bahawa kita masih punya Allah SWT untuk disandarkan, kerna kita hamba yang lemah.


Wallahu a'lam.

Sumber: YouTube Jangan Putus Asa, Kita Masih Punya Allah.. HD  | Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid






Friday, May 22, 2015

Siapa kita untuk sombong?


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.


واخفض جناحك لمن اتبعك من المؤمنين

Maksudnya: "Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman."
(Surah al-Syu'araa': 215)

Wahai Muhammad Rasulullah, rendahkan sayapmu.

Ini perintah Allah SWT kepada baginda Rasulullah SAW untuk merendahkan sayap sebagai simbol untuk bertawaduk.


Gambar sekadar hiasan

Kepada siapa nabi disuruh oleh Allah SWT untuk bertawaduk? Adakah orang yang lebih baik kepada Rasulullah SAW? Adakah kepada guru Rasulullah SAW? Adakah kepada sesiapa sahaja yang dimaksudkan dengan ayat tersebut. Walaupun beliau adalah

أفضل الخلق أجمعين

Rendahkan sayapmu kepada orang yang mengikut engkau daripada orang-orang yang beriman. Jangan takabbur dengan orang-orang yang beriman.

Jika Rasulullah SAW disuruh oleh Allah SWT merendahkan sayap bertawaduk kepada semua orang yang beriman, tidak kira orang yang beriman itu, imannya tinggi atau rendah, Allah SWT meng'umum'kan ayat ini untuk bertawaduk apatah lagi kita yang tidak sampai sebesar debu dengan kedudukan Rasulullah SAW, lalu bagaimana hendak bertakabbur dengan orang lain.

Siapa kita untuk menganggap diri lebih baik dari orang lain.sementara orang yang sudah diisytiharkan lebih baik oleh Allah diatas semua makhluk diperintahkan untuk bertawaduk kepada semua makhluk. Lantas apakah hak kita untuk merendahkan orang lain, bahkan merendahkan dengan kata-kata, dengan typing, dengan whatsapp nya, dengan komen iaitu melalui Twitter ataupun Facebook.

Siapa kita unutk merendahkan orang lain sementara Nabi SAW yang diutus oleh Allah SWT kepada kita, diajarkan oleh Allah SWT untuk  bertawaduk.

Belajarlah dari ajaran yang Allah SWT ajarkan kepada baginda Rasulullah untuk merendahkan diri, untuk bertawaduk. Maka akan diangkat darjatnya oleh Allah di dunia sebelum di barzakh dan sebelum di akhirat nanti, akan tetapi bila mana bertakabbur di muka bumi ini, maka tiada kedudukan yang sebenar didapat, didunia, apatah lagi di barzakh mahupun di akhirat. Firman Allah SWT:


وعباد الرحمن الذي يمشون على الأرض هونا وإذا خاطبهم الجاهلون قالوا سلاما

Maksudnya: "Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini;" (Surah al-Furqan:63)

hamba-hamba ar rahman, hamba hamba Allah,berjalan di atas muka bumi ini dalam keadaan merendah diri,kalau orang jahil bercakap kepada dia, komen kepada dia, maki dia, cakap hal hal yang tidak baik kepada dia, mengucapkan kata-kata yang selamat.

tidak dibalas makian dengan seribu makian,

inilah hamba yang dipuji oleh Allah, ketika berinteraksi termasuk dengan orang-orang yang jahil, termasuk orang yang menghina dia, adalah tidak mengambil sikap yang sama dengan orang tersebut.


Semoga secebis tazkirah dapat sama-sama mengambil pedoman.
Wallahu a'lam. :)


*Sumber: Siapa Kita Untuk Sombong?.. ᴴᴰ | Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid

Sunday, April 26, 2015

Berlari mencari diri

Kemudian Kami jadikan kamu (Muhammad) mengikuti syariat (peraturan) daripada agama itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui.
(Al-Quran, Al-Jathiyah 45:18)

Al-Quran ditutup sambil tangan mengepilkan dan menunduk.
Meleleh air mata. Jauh ku pergi. Allah sudah menyusun kalamNya supaya kita hayati dan mengingati. Kembali sedar dan teriak. Sementara itu...(throwback)

Kaki terus berlari. Berlari. Ingin mencapai buih yang terbang.



Tiba-tiba terpelecok. Buih hilang. Ibu jari kelihatan berdarah.
Allah. Apa yang telah aku buat? Teringat, kenapa aku mengejarnya? Terlalu leka mungkin.
Allahu akbar. *menangis. Ampunkan daku ya Allah.

Allah telah merencana diri lahir dalam keadaan Islam. Ayah telah iqamat di telinga kiriku dua puluh tiga tahun yang lalu. Ibu telah mendodoikan daku dengan alunan zikrullah sewaktu diriku kecil. Namun apabila besar, mengikut kehendak hati ingin pergi dengan bebasnya tanpa ada halangan dan penghadang.


Sejauh mana kita berlari, Allah tahu kamu perlukannya. Pulanglah.

Friday, April 24, 2015

Yakin dengan CintaNya

Allah sememangnya pemilik cinta. Berilah cintamu kepada pemiliknya agar Dia berikan cintamu itu kepada yang berhak memilikinya. Kecewa, sedih, resah tidak akan sentuh hatimu jika dirimu meletakkan Allah sebagai satu-satu nya cinta pertamamu.

Bagaimana hendak meletakkan cinta Allah cinta pertama?

Hayati cintaNya. Tadabbur kitabNya. Kita akan lihat, betapa banyaknya nikmat Allah beri. Tidak terhitung banyaknya. Oleh itu, penuhilah suruhannya, jauhilah larangannya. Akan ada hikmah dan ganjarannya.

Bila kita sedih, Allah bagi ganti yang baik. Bila kita sesal berbuat dosa, Allah ampunkan. Banyak nikmat Allah berikan pada kita yang kita terlepas pandang. Mungkin kerana terlalu asyik dengan kenikmatan yang dikecapi lantas terlupa pemilik nikmat. Allah, ampunkan dosa kami.

Ya Rabb, aku telah menzalimi diriku, ampunilah aku.

Jagalah ketaatan diri kita kepadanya, nescaya tidak kau kenali erti kecewa kepada manusia.
Dunia tidaklah seindah yang kita bayangkan. Penuh dengan muslihat. Namun raihlah kebaikan yang ada di muka bumi ini, untuk kita hayati nikmat yang Allah beri.

Allah beri panduan pada kita, jika kita keliru, al-Quran dan Sunnah ada. Syariat Islam yang dibawa oleh Rasulullah adalah menyeluruh sehingga akhir zaman. Kita tidak akan sesat jika berpegang dengannya. Pelajarilah ia, untuk temui ketenangan.


Jika kita jaga asas ini, Allah akan pimpin untuk susuri jalan ini. Allah detikkan hati-hati yang dekat kepadaNya dengan membantu diri kita yang perlukan pertolongan. Sayangi diri sepertimana Allah menyayangi dirimu, wahai sahabatku. Allah sentiasa disisi. Jika gembira, ingatlah dia, jika sedih ingatlah dia sentiasa ada dan mendengar keluhan dirimu. Allah maha pemurah lagi maha penyayang. Senyum :)