Monday, July 24, 2017

Seruling Jiwa

Bismillah.

Allah, rabbul Jalil yang sentiasa diingati.

Tenang mendengar tiupan seruling.
Perlahan-lahan ia mendamaikan.
Seakan menuntun jiwa.
Pena langsung menulis
Tatkala mendengar dayu seruling berirama
Melenyapkan luka semalam.
Membayangkan sinar baru.

Menyerah hati pada Illahi
Agar memberi harapan yang pasti
Untuk jiwa yang masih berdiri
Mencari kebahagiaan hakiki.

Dayu seruling kemudian terhenti.
Tanda irama sudah diakhiri.
Tangan dicapai oleh sang suami.
Menyedarkan,
Dihadapan kami terbit pelangi.
Yang menghiasi dunia kami.

Alhamdulillah a'la kulli hal wa nikmah.

Dunia Baru Ku

Assalamualaikum readers and bloggers,
Alhamdulillah, masih bernafas dibumi Allah dan menikmati setiap detik yang berharga di disisi orang tersayang. Ops! Dah kahwin kan. Sudah tentu bersama suami tersayang dan juga keluarga ku serta mertua. LOLove. Dah setahun tak update blog, terasa nak hidupkan kembali zaman menulis nulis ikut sedap hati. hehe. Dan kali ini post dari orang yang dah bertukar status. Ahaks. Segala puji bagi Allah, tak sangka, 17 September 2016, tahun lalu, fiza menamatkan zaman bujang. Dan pada tarikh ni, sudah 10 bulan usia perkahwinan kami. 

Memang berniat, umur 25 ingin berkahwin, walaupun pada ketika itu belum habis belajar lagi. (Sebab sekarang ni fiza sambung belajar kat UKM lepas je grad kat USIM dulu). Masa tu niat niat je, dan doa moga ada lelaki yang baik datang melamar. Hihi. Pernah jugak rasa risau dan terbit dalam hati ni, "Ada ke lelaki nak kat aku?" Hihi terfikirkan sebab pernah ada someone kata fiza ni serius mukanya and org laki nih tak nak pempuan yang belajar tinggi tinggi. Choi bila terkenang balik. haha. Risau jugak lah, sampaikan solat hajat dan doa, moga dikurniakan lelaki yang baik dan soleh. :)


Alhamdulillah, Allah dengar doa hambaNya yang sentiasa tak putus harap padaNya, pada tahun 7 November 2015, bertunang. Pada ketika tu, fiza semester 3 sarjana. Dan masa tu jugalah kalut dengan disertasi dan seminar :') Dan bila sampai waktunya izin Allah, maka dalam kekalutan tu juga lah menjadi tunangan orang dan majlis kecil kecilan dapat diadakan dengan bantuan family terutama ibu dan ayah, adik adik yang tercinta :D




Dan pada tanggal 17 September 2016, jam 3.30 petang, alhamdulillah dengan sekali lafaz bergelar seorang isteri kepada Ridzuan bin Nurzahim. Sedih bercampur gembira hanya Allah je yang tahu tahap perasaan ni. Tapi apa yang boleh saya katakan sebagai gambaran adalah Alhamdulillah. Hidup saya selepas berkahwin sememangnya berubah 360 darjah. Berubah kepada segala-galanya. Daripada hidup seorang yang independent, kesana kemari sorang-sorang, berprogram dengan kengkawan, dan kini hidup berdua bersama suami yang amat saya sayangi , kemana-mana ada orang teman :) Dulu takde sayang-sayang nih sebab selalu diingatkan dengan bahaya dan bahana couple ni. So, bila dah kahwin, satu pengalaman yang sangat manis diberi peluang hidup bersama orang yang kita cintai dan dalam masa yang sama merasa diri ini dicintai setiap hari :') Paling penting sekali, cinta yang Allah redha :) Tu matlamat yang sebenarnya. Hik2.


Lepas majlis, honeymoon sekejap and tempat dekat dekat je sebab belum habis stadi lagi kan. Adeh. Proses menulis tesis diteruskan oktober, november dan disember. Pembetulan dan pembetulan, akhirnya tesisku berjaya dihantar. Syukur sangat, sv sangat  sangat membantu. Terima kasih Dr. Zaini. hihi. Tapi papepun, doa, tawakkal dan yang paling penting kena banyak fikir apa yang kita buat mesti dengan redha Allah, in syaa Allah, Allah bantu mudahkan urusan. :') Doakan fiza moga dapat convo tahun ni ye. Hihi. Terima kasih encik suami yang selalu bantu macam-macam (kiter2 je tau hehe). Terima kasih juga ibu ayah bagi kakak kepercayaan untuk memasuki alam dan fasa baru :') Love always ;)

اللهم لا سهلا إلا ما جعلته سهلا وأنت تجعل الحزن إذا شئتا سهلا


In syaa Allah moga bertemu entry lain ye ;)






Sunday, July 31, 2016

Perkahwinan dan Musimnya

Perkahwinan. Dalam tengah tertidur, terjaga. Pantas tangan membuka laptop untuk menaip ilham.
Assalamualaikum WBT. sekian lama tak update blog, dan tetiba teringin nak update entry yang menjadi musim sekarang ini iaitu musim kahwin. hehe. Maaf pada sahabat sahabat yang menjemput untuk datang walimah, tetapi saya tidak dapat hadir dek kekangan masa dan keadaan, disaat penulisan disertasi sedang giat untuk disiapkan. Hanya mampu mendoakan kebahagian sentiasa dilimpahi buat pasangan yang sedang membina 'Beit Muslim' dan semoga diberi kekuatan menempuhi kehidupan. Aamin. 


Alhamdulillah, syukur bagi sesiapa yang telah dijemput jodoh pada waktu ini, dan pada yang lain, teruskan doa agar kita mendapat kehidupan yang baik. Rezeki manusia, berbeza. Ada yang rezekinya pada pekerjaaan yang baik terlebih dahulu, dan ada yang sebaliknya.  Semoga kita tidak mengeluh dengan kehidupan kita. Tetap syukuri nikmatnya. 


Jika terlalu kerap diuji, pintalah keampunan kepada Allah agar Allah ampuni diri kita dari dosa yang melindungkan kita dari rahmat Allah. 
Post kali ini saya highlight kan tentang perkahwinan, untuk meraikan sahabat-sahabat lain yang sedang membina ‘masjid’ dalam erti kata lain, menyempurnakan separuh agama. Ianya salah satu nikmat Allah SWT buat manusia:

ثلاثةٌ حقٌّ على اللهِ عونهم : المجاهدُ في سبيلِ اللهِ ، والْمُكَاتَبُ الذي يريدُ الأداءَ ، والناكحُ الذي يُرِيدُ العفافَ

Maksudnya:
”Tiga manusia yang berhak akan mendapat pertolongan Allah SWT, iaitu:
Orang yang berperang di jalan Allah SWT, hamba Mukatab yang bermaksud untuk menunaikan bayaran untuk pembebasannya serta orang yang berkahwin kerana hendak menyelamatkan dirinya dari perbuatan keji
(Hadis Riwayat Ahmad, al-Nasaie, al-Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim)




Rasa kahwin ni terbit apabila dua individu saling suka sama suka untuk membina mahligai bersama. dan, ada pula keadaan apabila dua individu bersetuju untuk berkahwin sama ada, melalui orang tengah, ataupun sesama mereka. 

Perbuatan ini dibenarkan syarak, apabila seseorang Muslim sudah berazam hendak berkahwin, dan niatnya sudah tekad untuk meminang seorang wanita, dia perlu mengenali wanita itu terlebih dahulu agar terselamat dari salah lamaran dan terjatuh kepada keputusan yang salah yang akan berlaku perkara yang tidak diingini (Al-Qardhawi 2015).



Tapi sebelum itu, perlu kepada memahami konsep perkahwinan dalam Islam terlebih dahulu, agar hati kita bersedia menempuhi semua, dari sebelum berkahwin, semasa majlis, dan selepas kahwin. Perkahwinan ini sebenarnya, kita mengangkat sunnah Rasulullah SAW yang menggalakkan kita meramaikan umat Nabi Muhammad SAW untuk menegakkan Syariat Islam agar terus diamalkan sehingga akhir zaman. 

Wanita punyai hak untuk memilih bakal suami yang beriman dan beramal soleh. Ini kerana, pemilihan ciri-ciri ‘beragama’ sangat penting kerana apabila individu tersebut tahu tanggungjawab dia dengan Allah SWT, dan secara automatik dia akan tahu tanggunjawab dia sesama manusia khusus kepada insan yang dibawah tanggungjawabnya. Perkara ini Allah SWT telah jelaskan dalam firmanNya:

Maksudnya:
“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui." (Surah An-Nuur 24:32)


Islam menggalakkan agar mencari orang yang soleh dan mentaati agama. Namun, untuk mencari yang soleh, kita mesti berusaha menjadi yang solehah. Dan jangan risau tentang rezeki selepas berkahwin, kerana jaminan  Allah SWT kepada orang yang berkahwin ni, kecukupan rezeki. Jangan pernah ragui. Tanda beriman dengan kitab Allah. Salah satu cabang rukun Iman. Dan diantara sifat-sifat yang dituntut antara suami dan isteri adalah:

1. Agama
2. Keturunan yang baik
3. Bukan dari kalangan kerabat/ saudara terdekat
4. Perawan
5. Subur
6. Sekufu

Sebelum berkahwin, persediaan perlu dilakukan agar kita dapat berhadapan dengan sesuatu dengan matang dan berhemah. Ujian ada dimana-mana, hatta di alam menuntut ilmu, alam pekerjaan apatah lagi perkahwinan. Oleh sebab itu, penting persediaan terutamanya persediaan dari segi agama dan yang berkaitan dengannya. Membaca bahan bacaan yang memberi manfaat dalam kehidupan boleh membantu kita dapat membentuk keluarga yang sakinah (ketenangan) mawaddah (kebahagiaan) dan rahmat (kasih sayang). 

Dan perlu juga bersedia, manusia ini sifatnya tidak sempurna. Cari yang tidak sempurna itu, untuk kita lengkapkan. Nasihat, bukan pinggirkan. Semoga kita menjadi orang yang sentiasa memberi kebaikan kepada orang disekeliling kita. Jum amalkan doa ni dalam surah Ali Imran 3: 193:

Maksudnya: "Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti;"


Perkahwinan merupakan instrumen pembinaan keluarga kerana ia asas atau permulaan kepada sesebuah masyarakat Secara tradisinya setiap pasangan individu yang ingin memulakan dan membina sebuah keluarga bersama perlu melalui fasa perkahwinan. 



Justeru, berdoalah. Pintalah Allah beri yang terbaik dan tunjukkan pada diri kita. Moga kita berusaha kearah menjadi pasangan suami isteri yang berilmu dan beramal. Saling memberi dan menerima. Alf Mabruk pada sahabat-sahabat yang telah mendirikan rumah tangga, menimang cahaya mata, dan tak lupa juga kepada yang bakal berkahwin. semoga kita menjadi salah seorang yang mengagungkan syariat Islam yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW. 

الدُّنيا متاعٌ، وخيرُ متاعِ الدُّنيا المرأةُ الصَّالحةُ

Maksudnya:” Dunia merupakan perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan di dunia ialah wanita yang solehah” (Hadis Riwayat Muslim)

Tetiba berangan nak macam ni kan? ;) Moga-moga. #ehhhhh


Semoga post bermanfaat buat pembaca ;) Wassalam.





Thursday, November 19, 2015

Dalam Pertemuan Tercipta Kenangan

Bismillah. Senantiasa dalam anganku,

Agar setiap detik indah kembali.
Untuk menggambarkan kembali wajah-wajah manis disisi. Tempoh Masters of Degree di UKM, sangat memberi kenangan yang indah dengan kehadiran insan-insan yang sentiasa menggembirakan dan menyenangkan. Walaupun hanya Allah yang tahu bebanannya.

Syukur tak terucap. Nikmatmu lengkap. Alhamdulillah.

Monday, October 19, 2015

Andai Aku Kau Pilih

Andai aku kau pilih,
Didiklah hati dan diri ini menjadi terbaik di hadapan Tuhan.

Andai aku kau pilih,
Berilah hatimu yang tulus untuk mengasihi.

Andai aku kau pilih,
Fahamilah erti amanah dan tanggungjawab dari kitab Rabbul Jalil.

Andai aku kau pilih,
Warnailah kehidupan dengan sunnah-sunnah yang kau telah pelajari.

Andai aku kau pilih,
Jangan nilai kesempurnaan di hadapanku dengan zat yang lain.

Andai aku kau pilih,
Pimpinlah diri ini mengenal erti rahmat Allah yang luas.

Andai aku kau pilih,
Pujuklah diriku dengan janji Allah yang satu.

Andai aku yang kau pilih,
Berjanjilah agar kau pelihara hukum Tuhan.




Sunday, May 24, 2015

Kita Masih Punya Allah

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Dalam kisah Nabi Musa Alaihissalam, Allah SWT mengisahkan tentang bagaimana orang yang merasakan dirinya bertuhan, bilamana berdepan dengan masalah.

Dan ini menjadi iktibar bagi kita, sebagai seorang beriman dan bertuhankan Allah SWT untuk tidak bersandar kecuali kepada Allah SWT dalam apa sahaja permasalahan. Walaupun semua makhluk tidak mampu untuk selesaikan. 

Nabi Musa Alaihissalam ketika membawa Bani Israil untuk diselamatkan daripada seksaan dan penindasan daripada Fir'aun, Ketika dibawa oleh Nabi Musa, apabila sampai ditepi lautan, Fir'aun yang menyedarinya, mempersiapkan kekuatan tenteranya yang luar biasa, dengan kekuatan senjatanya yang lengkap, mengejar kepada Nabi Musa dan Bani Israil. Apabila jumpa, mereka berada di tepi laut,
sementara itu, Fir'aun mengejar mereka bersama tentera-tenteranya.





Apa kata Bani Israil?

إنا لمدركون

Maksudnya: "..kita akan dapat dikejar" (Surah al-Syu'araa: 61)

Apabila di hadapan mereka laut dan dibelakang adalah Fir'aun dan tenteranya sedang mengejar mereka. Kami sudah ditangkap. Kami sudah tidak dapat lari.


Masalah.
Ikut logik, apabila maju, mati. Mundur pun mati.

Akan tetapi mentaliti orang beriman apabila berhadapan dengan masalah, tidak mengedepankan logik. Tidak mengedepankan akal. Bahkan mengedepankan Tuhan yang menciptakan akal. 

Apa kata Nabi Musa Alaihissalam sesudah itu?

كلا إن معي ربي سيهدين

Maksudnya: "..sekali-kali tidak akan (dapat dikejar), sesungguhnya Tuhanku bersamaku, Dia akan memberi petunjuk kepadaku" (Surah al-Syu'araa: 62)

(Aku tidak melihat dihadapanku lautan, dan aku tidak melihat belakangku Fir'aun dan tenteranya, aku tidak melihat segala permasalahan dengan mata iaitu mesti akan terjadi mengikut apa yang dilihat. Semua ini tertakluk kepada Allah SWT.

كلا إن معي ربي سيهدين

Maksudnya: "..sekali-kali tidak akan (dapat dikejar), sesungguhnya Tuhanku bersamaku, Dia akan memberi petunjuk kepadaku" (Surah al-Syu'araa: 62)

Bersama denganku adalah Tuhanku. Yang berkuasa berbuat apa sahaja kepada lautan, berkuasa berbuat apa sahaja kepada Fir'aun dan tenteranya.

Ini adalah bahasa Iman.

Kepada orang yang merasakan jiwanya bertuhan.
Maka dia sentiasa mnegdepankan kekuatan Tuhan berbanding dengan kekuatan bukan dirinya sahaja hatta seluruh makhluk. 

Berapa banyak secara zahir diberikan kemenangan yang diberikan dan ditunjukkan oleh Allah kepada kaum Muslimin bukan kerana kekuatan mereka, tetapi kekuatan yang diberikan oleh Allah SWT.

Allah SWT memerintahkan kepada Nabi Musa, "Wahai Musa, pukullah lautan dengan tongkatmu"

Ikut hukum logik juga berapa banyak Allah SWT tunjukkan di dalam al-Quran, terbatalnya hukum logik, akan tetapi ramai manusia masih mempertahankan hukum logik dalam segala hal. Hukum akal dari segala hal. Tidak masuk diakal.

Maka disuruh oleh Allah SWT kepada Nabi Musa Alaihissalam memukul lautan dengan tongkatnya. Lalu apa yang berlaku?

فانفلق
Maksudnya: "...maka terbelahlah..." (Surah al-Syu'araa: 63)

Lalu menjadilah air tiap-tiap bahagian yang terbelah itu terangkat seperti gunung yang besar. Maka berjalanlah Nabi Musa dan Bani Israil melalui laut yang terbelah itu.


Sekadar hiasan

Orang yang bertuhan berbeza dengan orang yang tidak bertuhan.

Orang yang bertuhan sentiasa mengembalikan segala masalah kepada Tuhannya. Manakala orang yang tidak bertuhan akan mengembalikan segalanya kepada dirinya sendiri, sekiranya tidak dapat menghadapi masalah maka dia mengambil jalan pintas.

Maka, setiap perkara, haruslah direnungi bahawa kita masih punya Allah SWT untuk disandarkan, kerna kita hamba yang lemah.


Wallahu a'lam.

Sumber: YouTube Jangan Putus Asa, Kita Masih Punya Allah.. HD  | Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid






Friday, May 22, 2015

Siapa kita untuk sombong?


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.


واخفض جناحك لمن اتبعك من المؤمنين

Maksudnya: "Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman."
(Surah al-Syu'araa': 215)

Wahai Muhammad Rasulullah, rendahkan sayapmu.

Ini perintah Allah SWT kepada baginda Rasulullah SAW untuk merendahkan sayap sebagai simbol untuk bertawaduk.


Gambar sekadar hiasan

Kepada siapa nabi disuruh oleh Allah SWT untuk bertawaduk? Adakah orang yang lebih baik kepada Rasulullah SAW? Adakah kepada guru Rasulullah SAW? Adakah kepada sesiapa sahaja yang dimaksudkan dengan ayat tersebut. Walaupun beliau adalah

أفضل الخلق أجمعين

Rendahkan sayapmu kepada orang yang mengikut engkau daripada orang-orang yang beriman. Jangan takabbur dengan orang-orang yang beriman.

Jika Rasulullah SAW disuruh oleh Allah SWT merendahkan sayap bertawaduk kepada semua orang yang beriman, tidak kira orang yang beriman itu, imannya tinggi atau rendah, Allah SWT meng'umum'kan ayat ini untuk bertawaduk apatah lagi kita yang tidak sampai sebesar debu dengan kedudukan Rasulullah SAW, lalu bagaimana hendak bertakabbur dengan orang lain.

Siapa kita untuk menganggap diri lebih baik dari orang lain.sementara orang yang sudah diisytiharkan lebih baik oleh Allah diatas semua makhluk diperintahkan untuk bertawaduk kepada semua makhluk. Lantas apakah hak kita untuk merendahkan orang lain, bahkan merendahkan dengan kata-kata, dengan typing, dengan whatsapp nya, dengan komen iaitu melalui Twitter ataupun Facebook.

Siapa kita unutk merendahkan orang lain sementara Nabi SAW yang diutus oleh Allah SWT kepada kita, diajarkan oleh Allah SWT untuk  bertawaduk.

Belajarlah dari ajaran yang Allah SWT ajarkan kepada baginda Rasulullah untuk merendahkan diri, untuk bertawaduk. Maka akan diangkat darjatnya oleh Allah di dunia sebelum di barzakh dan sebelum di akhirat nanti, akan tetapi bila mana bertakabbur di muka bumi ini, maka tiada kedudukan yang sebenar didapat, didunia, apatah lagi di barzakh mahupun di akhirat. Firman Allah SWT:


وعباد الرحمن الذي يمشون على الأرض هونا وإذا خاطبهم الجاهلون قالوا سلاما

Maksudnya: "Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini;" (Surah al-Furqan:63)

hamba-hamba ar rahman, hamba hamba Allah,berjalan di atas muka bumi ini dalam keadaan merendah diri,kalau orang jahil bercakap kepada dia, komen kepada dia, maki dia, cakap hal hal yang tidak baik kepada dia, mengucapkan kata-kata yang selamat.

tidak dibalas makian dengan seribu makian,

inilah hamba yang dipuji oleh Allah, ketika berinteraksi termasuk dengan orang-orang yang jahil, termasuk orang yang menghina dia, adalah tidak mengambil sikap yang sama dengan orang tersebut.


Semoga secebis tazkirah dapat sama-sama mengambil pedoman.
Wallahu a'lam. :)


*Sumber: Siapa Kita Untuk Sombong?.. ᴴᴰ | Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid

Sunday, April 26, 2015

Berlari mencari diri

Kemudian Kami jadikan kamu (Muhammad) mengikuti syariat (peraturan) daripada agama itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui.
(Al-Quran, Al-Jathiyah 45:18)

Al-Quran ditutup sambil tangan mengepilkan dan menunduk.
Meleleh air mata. Jauh ku pergi. Allah sudah menyusun kalamNya supaya kita hayati dan mengingati. Kembali sedar dan teriak. Sementara itu...(throwback)

Kaki terus berlari. Berlari. Ingin mencapai buih yang terbang.



Tiba-tiba terpelecok. Buih hilang. Ibu jari kelihatan berdarah.
Allah. Apa yang telah aku buat? Teringat, kenapa aku mengejarnya? Terlalu leka mungkin.
Allahu akbar. *menangis. Ampunkan daku ya Allah.

Allah telah merencana diri lahir dalam keadaan Islam. Ayah telah iqamat di telinga kiriku dua puluh tiga tahun yang lalu. Ibu telah mendodoikan daku dengan alunan zikrullah sewaktu diriku kecil. Namun apabila besar, mengikut kehendak hati ingin pergi dengan bebasnya tanpa ada halangan dan penghadang.


Sejauh mana kita berlari, Allah tahu kamu perlukannya. Pulanglah.

Friday, April 24, 2015

Yakin dengan CintaNya

Allah sememangnya pemilik cinta. Berilah cintamu kepada pemiliknya agar Dia berikan cintamu itu kepada yang berhak memilikinya. Kecewa, sedih, resah tidak akan sentuh hatimu jika dirimu meletakkan Allah sebagai satu-satu nya cinta pertamamu.

Bagaimana hendak meletakkan cinta Allah cinta pertama?

Hayati cintaNya. Tadabbur kitabNya. Kita akan lihat, betapa banyaknya nikmat Allah beri. Tidak terhitung banyaknya. Oleh itu, penuhilah suruhannya, jauhilah larangannya. Akan ada hikmah dan ganjarannya.

Bila kita sedih, Allah bagi ganti yang baik. Bila kita sesal berbuat dosa, Allah ampunkan. Banyak nikmat Allah berikan pada kita yang kita terlepas pandang. Mungkin kerana terlalu asyik dengan kenikmatan yang dikecapi lantas terlupa pemilik nikmat. Allah, ampunkan dosa kami.

Ya Rabb, aku telah menzalimi diriku, ampunilah aku.

Jagalah ketaatan diri kita kepadanya, nescaya tidak kau kenali erti kecewa kepada manusia.
Dunia tidaklah seindah yang kita bayangkan. Penuh dengan muslihat. Namun raihlah kebaikan yang ada di muka bumi ini, untuk kita hayati nikmat yang Allah beri.

Allah beri panduan pada kita, jika kita keliru, al-Quran dan Sunnah ada. Syariat Islam yang dibawa oleh Rasulullah adalah menyeluruh sehingga akhir zaman. Kita tidak akan sesat jika berpegang dengannya. Pelajarilah ia, untuk temui ketenangan.


Jika kita jaga asas ini, Allah akan pimpin untuk susuri jalan ini. Allah detikkan hati-hati yang dekat kepadaNya dengan membantu diri kita yang perlukan pertolongan. Sayangi diri sepertimana Allah menyayangi dirimu, wahai sahabatku. Allah sentiasa disisi. Jika gembira, ingatlah dia, jika sedih ingatlah dia sentiasa ada dan mendengar keluhan dirimu. Allah maha pemurah lagi maha penyayang. Senyum :)






Wednesday, April 22, 2015

Menahan Marah

Bismillah.

Terbaca kata-kata Imam Syafi'ie "Marah adalah satu antara panah-panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu, hindari marah supaya kamu dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya."
(30 Wasiat Imam Syafi'ie, Khairul Razali)

Hari ini ada sesuatu yang menimpa diri dan marah melanda diri. Astaghfirullah. Lemahnya diri ini.

Sentiasa memohon keampunan segala dosa yang dilakukan pada hari ini . Kerana kita manusia lemah, terkadang kita terlupa dan kepadaNya kita berserah.

Seringkali kita berhadapan dengan situasi ini dan bimbang dengan kemarahan kita akan menyakiti jiwa orang lain. Sebagai contoh, kita kecewa dengan sikap atau tingkah laku seseorang terhadap diri kita. Dan kita rasa marah dan kadangkala bercampur dengan sedih. Dugaan kan?
Ianya adalah satu cabaran dalam kehidupan.

Apabila kita marah, maka afdhal atau seelok-eloknya berdiam. Istighfar dan berfikir. Untuk apa dimarahi, siapa kita untuk memarahi. Sukar kah perkara yang mahu dihadapi itu? Apa natijahnya kita dapat? sememangnya itu sifat syaitan yang mahu menjatuhkan kita dengan kemarahan yang ditiup ke dalam hati kita.




Diriwayatkan Abu Hurairah r.a bahawa ada seorang lelaki berkata: " Berilah aku pesan." Rasulullah bersabda: Jangan Marah.  Lelaki itu mengulangi beberapa kali minta supaya dipesan. Namun baginda masih tetap berkata: "Jangan Marah!" (Riwayat Bukhari)

Nasihat atau pesanan Rasulullah terhadap sahabatnya adalah jangan marah. Bermakna perkara itu perlu dititik beratkan. Rasulullah adalah sebaik baik contoh atau role model.

Dalam kita berdiam dan berfikir ketika kita menahan marah, terdetik rasa bersalah, maka Allah sedang berbicara dengan kita bahawa "marah" itu adalah salah satu sifat mazmumah dan boleh memberi kesan kepada sekeliling kita juga tubuh badan kita. Maka Istighfarlah, kerana Istighfar pembuka kesulitan dan ketegangan.


Dalam kita berhadapan dengan kesulitan dan kepayahan, ingatlah Allah. Kita adalah hambaNya dan manusia yang lemah yang sentiasa bergantung kepadanya. Udara, kehidupan yang dimiliki, kesihatan dan sebagainya semua daripada Allah. Maka tidak berhak kita memarahi.
*sambil dengan lagu UNIC Syukur-syukurlah.

Sebagai umat Islam, Nabi S.A.W. menyarankan kita beberapa teknik bagaimana untuk mengawal sifat marah dan ini sememangnya berkesan. :)

1) Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya marah adalah secebis api yang dinyalakan di dalam hati. Tidakkah engkau melihat kepada kedua-dua matanya yang merah dan urat-urat lehernya yang menggelembung? Maka apabila salah seorang daripada kamu berasakan sesuatu dari yang demikian, maka rapatkan diri kamu ke muka bumi( duduk menenangkan diri atau sujud kepada Allah). (Riwayat Al-Baihaqi)

Duduk dan bertenang. Solat.

2) Rasulullah S.A.W. bersabda: "Apabila seseorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia mengambil wudhuk, maka sesungguhnya marah itu daripada secebis api." (Riwayat Abu Daud)

Pergi bilik air atau sinki, paling kurang basuh muka.


Antara langkah mengawal dan mendidik diri supaya lebih bersifat tenang.

a) Cuba pertimbangkan keadaan yang menyakitkan hati. Fikirkan sama ada kemarahan kita itu mempunyai alasan kukuh atau tidak.

b) Janganlah menyalahkan orang lain. Kemungkinan ianya berpunca daripada diri kita sendiri. Refleksi diri.

c) Apabila marah, amalkan membaca " رب أعوذ بك من همزات الشياطين وأعوذ بك أن يحضرون"

Maksudnya: Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMua dari hasutan syaitan-syaitan, dan aku berlindung kepadaMu wahai tuhanku agar syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku. 
(Al-Mukminun:97-98) 


"Dan (bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan keji, apabila mereka marah mereka memberi maaf." (Al-Syura: 37)

Maafkanlah orang yang membuatkan kita marah, Allah suka :)

"Jika kalian tidak menyukai mereka maka bisa kalian membenci sesuatu padahal Allah menjadikan kebaikan yang banyak padanya."(An-Nisa':19)

Mungkin perkara yang kita tidak sukai yang menyebabkan kita marah, Allah jadikan kebaikan yang terlindung daripadanya. Mana tahu kan? :)

Banyak ayat-ayat al-Quran yang menjadi pendorong agar dapat menghindarkan diri dari sifat ini. Marah boleh mengundang perkara yang tidak elok akan datang. Lapangkan dada dan mohonlah ampun kepada Allah S.W.T. Moga setiap peristiwa yang menimpa dapat kita ambil ibrah(pengalaman) di kemudian hari.

Wallahu a'lam. Allah maha tahu. Moga tinta ini bermanfaat dalam kehidupan kita seharian. In syaa Allah :)



Monday, April 20, 2015

Sabar Tatkala Putus Harapan

"Cukuplah Allah beri kekuatan untuk meneruskan langkah ini."

*Sambil menutup buku Ihya' Ulumuddin.
Terpandang bayt hadith ertinya:

"Barangsiapa keluar dari rumahnya pada menuntut ilmu, maka ia pada jalan Allah (fi sabilillah), sehingga ia kembali ke rumahnya." (Diriwayatkan At-Tirmizi dari Anas, hadith hasan gharib)

Allahu musta'an.

Terasa terseliuh, namun perkataan sabar seringkali dibisikkan di telinga.
Biarlah hati menyimpan segala kesukarannya. Kadangkala punya waktu kita tidak mampu, dan terkadang ada waktu kita keliru.

HasbunAllah wani'mal wakil, ni'mal maula wani'man nasir.

"Jangan mengaku beriman sebelum diuji". Tiba-tiba terpandang ayat tersebut ketika rasa kecewa dengan diri ini.

Mungkin teguran dari Allah.

Mana mungkin Allah biarkan diri terkapai apabila Dia telah letakkan diri sampai ketahap ini. Allah sebaik-baik perancang. Berdoalah.








Thursday, April 16, 2015

Muraqabatullah

"Kefahaman dan kesedaran pada kewujudan Allah S.W.T akan melahirkan sikap muraqabatullah, atau merapat kepada Allah S.W.T. Sekaligus membuatkan kita lebih komited dalam menjadi seorang Muslim yang baik. Muslim yang baik adalah manusia yang baik, kerana Allah S.W.T. tidak akan mengaturkan sesuatu yang tidak bermanfaat dan sia-sia.

Menghadirkan sikap muraqabatullah, akan membuatkan kita adalah melakukan sesuatu yang diredhaiNya. Kita tidak akan membazirkan masa dengan perkara yang merosakkan apatah lagi terfikir mengajak orang melakukan kerosakan.

Apabila kita melihat seorang muslim atau muslimah yang soleh atau solehah kita pasti tertanya-tanya apakah mekanisme yang membuatkan mereka kekal sedemikian rupa, Tidak, mereka bukan malaikat, dan tidaklah mereka tidak jatuh langsung. Namun apa yang kita perhatikan itu adalah hasil dari istiqamah, yang mana apabila mereka jatuh mereka akan segera bangkit semula. Sekiranya mereka jatuh berkali-kali, mereka tidak akan putus asa dan naik semula."

Petikan daripada buku "30 Hari Mencari Tuhan" karya Hilal Asyraf.

Membaca mengisi jiwa. Itulah yang dipraktikkan oleh Islam tentang kelebihan membaca sepertimana wahyu yang pertama diturunkan kepada Nabi S.A.W adalah "bacalah". Daripada Al-Quran sehinggalah buku-buku ilmiah yang dapat memberi pengetahuan dan kesedaran terhadap diri.

Dalam mengislah diri, perlu kepada membaca. Kerana dari situ timbul rasa ingin tahu lebih. Mengapa ini, bagaimana ini, apakah ini dan sebagainya.

Kini, baru daku sedar tentang pentingnya membaca lagi-lagi bahan bacaan yang mendekatkan diri mengenal pencipta. Allahu a'lam.


Thursday, April 9, 2015

Jadual Padat, Masa Tenat

Salam sejahtera ke atas sekalian yang sudi membaca blog ini.

Post kali ini hanya menceritakan kehidupan penulis sejak kebelakangan ni.

Selasa kelas Harta Pusaka Islam,
Rabu kelas Hadith dan Pembangunan Manusia
Khamis kelas Metodologi Dakwah dalam Al-Quran kemudian Ekonomi Islam
Jumaat kelas Kaedah Penyelidikan.

Post yang seterusnya in syaa Allah penulis akan cerita apa yang penulis belajar dalam kelima-lima subjek tersebut. Terasa masa sangatlah cepat dan kadang-kadang tak sempat nak buat banyak kerja dalam satu hari. Bila sibuk urusan dunia, sesekali terfikir, bila last pergi majlis ilmu? Bila last baca quran? Bila last baca buku agama? Dan banyak lagi. Bukan apa, tu semua akan menjadi aset akhirat kelak. Setakat mana bekalan kita nak bawa menuju pencipta. Kita tidak lari dengan dosa. Kullu bani adam khat'an. Setiap anak adam melakukan kesilapan. Tapi sejauh mana kita "kembali" ke jalanNya.

Allahu. Bila hati tidak disandarkan kepada tuhan, kita akan hanyut dengan tipu dunia. Ya, diibaratkan dunia tempat menuai, dan akhirat adalah tempat mengutip hasil. Sama konsepnya ibadah kita kepada Allah. Tidak dilupa hubungan dengan manusia. Maaf dari insan ini, kepada ibu ayah, saudara dan sahabat sekalian jika ada hak yang tidak tertunai.

Pernah penulis mengalami situasi dimana ada seorang hamba Allah yang menegur penulis, dan dia bertanya penulis ambil jurusan apa. Bila dijawab mengambil jurusan Syariah, dia memberi respon "Oh, ustazah ustazah lah ni" sambil ketawa. Mungkin niat untuk bergurau. Tapi perkara itu perlu dirai tidak ditertawa. Bukankah menuntut ilmu agama perlu ada dalam setiap individu, penting untuk dipelajari. Ilmu penting dalam pembangunan manusia mengenali pencipta, terkenang nikmatNya. Kerana setiap orang Islam yang mempunyai kudrat, wajib menuntut ilmu agama.

Wallahi ilmu Allah sangat luas. Jika diteroka satu persatu memang terasa banyak lagi yang tidak tahu. Namun jika Allah tahu niat dan keyakinan kita nak mencari ilmu Allah, maka in syaa Allah, Allah mudahkan setiap jalan. Bila baca al-Quran dan hadis, sangat banyak tentang kelebihan ilmu. Nasihat penulis, sebelum membaca buku-buku lain, tadabbur dulu bacaan al-Quran. Ayat-ayatNya sangat indah. Tiba-tiba teringat sewaktu di sekolah menengah, Ustazah bertanya apakah makna Al-Quran.

Al-Quran ialah kalam (kata-kata) Allah yang bermukjizat diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W. dengan lafaz arab dan diturunkan secara mutawatir(berperingkat) membacanya adalah ibadah.

Itulah makna al-Quran, sangatlah indah mengambil sedikit masa untuk tadabbur. Maka jiwa akan tenang dan lapang. Dan masa akan lapang juga In syaa Allah. Wallahu a'lam.

Moga Allah tunjukkan "laluan pulang". ( Jalan Pulangku | UNIC )

Monday, April 6, 2015

Tahalli Hati dengan Cinta dan IlmuNya

Bismillah. Dengan namaMu ya Allah yang maha pemurah lagi maha kasihkan hambaNya. Tiap rahmatNya disekeliling kita yang selalu dialpa namun Dia tetap mencukupkan. Segala Puji bagi Allah atas segala keadaan. Moga lisan dan hati kita sentiasa memujiNya. Maha suci Allah.

Di dalam firmanNya:

"Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan di dunia dan di akhirat" (Al-Quran, Yunus, 10:64)
Tahalli hati dengan cinta dan ilmuNya. Perkataan yang di ajar oleh seorang ustaz ketika saya menghadiri seminar "Untuk Kita Pendosa" yang memerlukan dua perkara agar jiwa bersih iaitu Takhliah (Proses mengosongkan daripada sifat mazmumah) dan Tahalliyah (mengisi ilmu dalam jiwa)

Penuhi atau isilah hati dengan CintakanNya dan mendambakan ilmuNya. Pelbagai Cara. Dengan izin Allah akan mendapat bimbingan perjalanan di dunia menuju akhirat.

"Kehidupan anak muda itu adalah dengan ilmu dan taqwa, melalui ilmu adalah datangnya taqwa. jika dua perkara ini tiada, maka tidak ada nilai orang ini.- Imam Syafi'ie.

In syaa Allah, blog ini sebagai catatan dan nasihat yang ingin dikongsi bersama agar kebaikan dan pahala dapat diraih bersama. Semua berhak membuat kebaikan.

"Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali(bisik-bisikkan) orang yang menyuruh bersedekah atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa berbuat demikian dengan maksud mencari keredhaan Allah, tentulah Kami akan memberinya pahala yang amat besar." (Al-Quran, An-Nisa, 4:114)

Selamat bermujahadah!:)

Wednesday, April 30, 2014

Jaulah yang penuh Hikmah

     Alhamdulillah,maaf sudah lama tidak update-update blog ni. Tunggu ada kesempatan or semangat nak bercerita, baru nak tulis. Hehe. Rindu untuk bercerita. Hanya sedikit ibrah untuk dikongsi buat ilham rakan-rakan lain untuk lebih semangat dan lebih menghargai kehidupan yang Allah beri. Alhamdulillah sekali lagi, sudah 3 bulan lebih fiza praktikal di Brunei ni. Dan alhamdulillah, angan-angan fiza untuk menjejaki bumi Brunei telah pun tercapai. Dan segala urusan disini, segalanya dipermudahkan oleh Allah S.W.T. Alhamdulillah thumma Alhamdulillah. 


Masa mula-mula fiza sampai di Brunei ni dalam pukul 9.15 pagi dan masa tu agak tak ramai. Bila tengok je sekitar airport tu, semua tulis jawi. Terpegun kejap. Rasa macam zaman 1970 an. Hehe. Siyesly tenang je tengok. Huuu. Simple bentuknya, dalam hati “Oh, macam ni rupanya”. Dan masa fiza sampai tu, hujan. Maybe hujan rahmat menyambut kedatangan seorang penuntut. Hehe.


Dan masa ni fiza sorang-sorang je coz kawan lagi sorang tertinggal flight. Rasa macam independent betul. Sorang-sorang duk tunggu. Menangis juga dalam hati ini. Baru tahu bagaimana rasa travel sorang. Dalam hati ni hanya Allah je tahu betapa cuaknya sorang-sorang di negara orang. Mujur ada sorang akak ni asal seremban, tunggu husband dia yang kerja di airport. So mintak tolong dia kol kan ofis. Beritahu dah sampai. Sebab baru dapat tahu line U-mobile takde line kat sni. Memang can’t reach sape-sape. Fiza fikirkan boleh roaming. Syukur Allah bantu temukan seorang hamba Allah yang baik hati nak tolong. Moga Allah balas jasa kakak tu dengan memudahkan segala urusan beliau. Sesudah sampai di ofis, masa tu ramai dah nak pergi lunch. Jam 12.00 Tengahari. Tapi sebelum itu, berkenalan dulu seorang demi seorang. Dan Abg Fendi (salah seorang peguam disini) yang sangat peramah kenalkan kepada semua teman ofis. Then ofismate bawak pergi makan shabu-shabu(steamboat). Kak Noor, Zila, Nurul, dan Mohamad. Orang disini baik baik belaka. Syukur lagi sekali.

Lepas lunch tu, jumpa bos, then terus bos bawak pergi court. Masa tu memang nebes betul sebab first time!! Dan bailiff bacakan peraturan ketika mendengar proceeding. Oh time tu imagine, if tetibe fiza punya phone ringing during the proceeding. Tak dapat bayangkan kena penjara or bayar denda $2000 dan pulak pada masa tu dalam tangan hanya ada $300++ dolar. (just imagine) hehe


Dan kemudiannya Bos tolong bawakkan and tolong carikan simcard since fiza macam mati kutu tak boleh nak contact sape-sape. Selama 2 hari tak contact ibu ayah rasa macam bimbang ibu ayah risau. Beli simcard $45. Fuh bila convert duit Malaysia mau semput ayam. Ada je yang $30, Cuma tak pergi tempat yang jual murah camtu. Sebab fiza pergi kat Jalan Sultan, Bandar Seri Begawan. Memang la mahalnya pun. Sebab terdesak punya pasal kan. Tapi takpe, 4 bulan duduk sini memang kena beli pon. Fiza beli DST card. Macam lebih kurang kata celcom card la.  Kalau guna DST ni, murah sikit guna mobile data if kita nak whatsapp ke, fb ke. 1 sen per kb. Contoh kalau on mobile data selama satu hari, $1 disedut + boleh bukak fb,whatsapp, wechat, line, instagram and etc. info buat siapa-siapa nak tinggal di Brunei.


Yang ini salah satu bank di Brunei, iaitu Bank Islam Brunei Darussalam. Bank tempatan. Mula-mula ingat ni cawangan Bank Islam kat Malaysia, rupa-rupanya tersilap. Hehe. Logo pun dah lain kan. Kalau kat Malaysia merun putih. Ada je Local Bank lain, Baiduri Bank Berhad, dan Perbadanan Tabung Amanah Islam Berhad. Foreign Bank pun ada, Maybank, HSBC, RHB, dan Standard chartered Bank. Tapi fiza memang guna Maybank. Mudah.


Jalan raya nye bersih. SubhanAllah. Dan kat sini memang takde motor. Semuanya kereta. Sebab harga kereta dengan harga motor lebih kurang sama. Lebih baik beli kereta kann. Berbumbung. Hehe. Tapi kat sini memang kereta besar-besar. Murah kata mereka. Hoho. Kat sini namanya Jalan Sultan Omar Ali Saifudien. Dan mana-mana bangunan aka nada tulisan jawi. Semua kedai ditulis jawi. Yang inggeris pun di jawikan. Contohnya kat bangunan tu. Lebih kurang tulisan jawi ni tulisan kebangsaan mereka.


Ni pemandangan sekitar Kampong Air. Fiza belum sempat nak naik bot keliling Kampong ni. Mungkin sebab fikir lama lagi kat sini. Hehe. Tapi pemandangan sini memang cantik. SubhanAllah. Kalau pergi Brunei, memang tak sah kalau tak pergi sini. Sangat cantik kalau ronda sekitar.


Yang ni nasi Katok Mama. Boleh kata nasi katok yang popular kat Bandar ni. Dan kedai ini terletak di depan ofis. So kami kadang beli je nasi katok ni untuk lunch. 1 nasi katok ni harganya $1. Murah kan. Dalamnye ada ayam goreng dan sambal. Memang sedap bagi yang penggemar ayam goreng. Hehe.


Dan masa mula-mula fiza sampai Brunei ni, fiza dan afi tidur di rumah client bos kami. Orang Brunei memang kaya-kaya dan baik hati. Kebetulan ada kes beliau pada hari tu, dan beliau ajak kami bermalam di rumah mereka pada hujung minggu dan beliau membawa kami bersiar-siar dan kami berkesempatan menghadiri majlis Hari Kebangsaan Brunei ke 30 yang diadakan di Stadium Sultan Hasanal Bolkiah. 23 Februari 2014.


Dan berikutnya, pada malam 27 Februari, fiza dan afi dibawa ke Majlis berbedak & Berinai. Kat sini, bila majlis berbedak & berinai pengantin akan memakai baju kebangsaan mereka. Kat sini panggil berinai tu berbedak. Hehe.


Dan pada 28 februari, kami pergi majlis resepsi yang telah diadakan di Dewan Hotel Rizqun yang terletak di Gadong. 
Yang uniknya kedudukan mereka. Perempuan dan lelaki diasingkan even suami isteri. Dan mereka duduk lebih kurang dalam bulatan yang disegikan. So jadi macam group kecil. Yang ini adat mereka dalam majlis perkahwinan. Baguskan?

Pada 9 Mac, Alhamdulillah,fiza dan afi sempat pergi ke Pesta Buku Brunei ke 15 di ICC, Berakas. Disana terdapat jualan buku, pameran buku-buku dari Jabatan Mufti, dan juga terdapat pameran Seni Khat. Tiba-tiba rindu untuk menulis khat. Fiza berpeluang membeli 3 buah buku iaitu, The Kite Runner, Happy Ending Full Barakah, dan Formula Solat Sempurna. Tak beli banyak pun, sebab kat Malaysia lagi murah *(nada berbisik).


Moment yang tak boleh lupa, pada 21 Mac, kami mendapat jemputan untuk menghadiri Majlis Pengislaman pembantu rumah salah seorang rakan ofis kami. Dan buat pertama kali fiza meraikan saudara baru untuk masuk Islam secara live. Semasa beliau mungucap dua kalimah syahadah, ya Allah, fiza tak tahu nak kata apa, menitis air mata, terharu sangat hidayah Allah telah sampai kepadanya. Dan beliau turun menitiskan air mata. Dan usai beliau menyempurnakan Syahadahnya, semua orang melaungkan takbir. Allahu Akbar. Allah maha besar. Allah akan memberi hidayah kepada siapa-siapa yang Allah suka. Allahu. Agungnya HidayahMu. Di Brunei, muallaf diberi keistimewaan yang tinggi. Sultan akan memperuntukkan haji percuma untuk muallaf dan ditambah dengan keistimewaan yang lain. Fiza akan ingat moment ini sampai bila-bila. Dan pengalaman ini adalah rezeki dari Allah. Alhamdulillah. Hanya berdoa yang terbaik.


InsyaAllah fiza akan sambung menulis blog pada masa akan datang. Fiza tidak berkesempatan lagi untuk menjelajah dan menikmati tempat-tempat lain yang ada di Brunei ini. InsyaAllah fiza akan update untuk tatapan kalian.

Sebelum itu, mari kita renung-renungkan dan amalkan ayat 19, surah An Naml yang bermaksud:

“Wahai Rabbku, berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmatMu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku dan untuk mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai dan masuklah aku dengan rahmatMu ke dalam golongan hamba-hambaMu yang soleh.

Amin. Moga tintaku dalam blog ini dapat memberi sedikit ibrah untuk kalian sepanjang jaulah ku di bumi Brunei ini. Sekian Wassalam. :) 



Monday, April 7, 2014

Kehidupan Yang memberi Makna

Assalamualaikum w.b.t,




Dengan secara tiba tiba terpanggil untuk menulis. Rindu untuk bercerita. Hanya sedikit ibrah untuk dikongsi buat rakan-rakan lain untuk lebih semangat dan lebih menghargai kehidupan yang Allah beri.



Alhamdulillah dengan rasa syukur yang tidak terhingga di panjatkan kepada IIlahi kerana memberi peluang kepada hambanya yang lemah dan hina ini untuk melihat dan mengembara melihat buminya. Satu persatu anugerah Allah, memberi daku peluang berjalan, melihat, dan mentafsir.

Perangai ku bukanlah seserius mana dengan sesuatu perkara, akan tetapi bila sesuatu menyentuh hati, kesedaran dan penghayatan tu memang menyentuh jiwa. Perjalananku ketika menjadi penuntut di Universiti, aku tidak sekali kali lupa, dan besarnya jasa USIM padaku. Universiti Sains Islam Malaysia.

Dari situ ku mengenali persatuan yang merubah jalanku. Tempat jatuh bangun. Semasa berada di tahun pertama, ku diberi peluang oleh Rabbku untuk mengikuti misi kemanusiaan di Kemboja dan Vietnam. Dari situ ku perhatikan, kekayaan bukanlah segala-galanya, akan tetapi kenikmatan yang mereka hayati terhadap sekeliling yang mampu membuatkan diri mereka bahagia. Itu cukup buat mereka.



Tahun kedua di Universiti, takdirku tertulis untuk mengembara sekali lagi di Bandung, Indonesia untuk misi kembara Insani di Indonesia. Dan pengalaman yang sangat bermakna bagiku adalah merayakan Aidiladha dan melaksanakan ibadah korban disana. Allahu Akbar. Kemeriahan mengagihkan daging sembelihan kepada penduduk kampong bersama sahabat-sahabat adalah perkara yang tidak dapat ku lupakan sampai bila-bila.



Tahun Ketiga di Universiti, sekali lagi terpanggil untuk misi iaitu misi kembara kehidupan di Bumi Aussie di Wollongong dan Sydney. Kali ini bersama sahabat menjelajah negara yang minoritinya Islam dan Negara yang mewah. Dan dari situ ku dapati, semangat orang Islam untuk tetap istiqamah.Solat dimana-mana apabila masuknya waktu solat adalah perkara biasa bagi orang Islam di sana. Semangat itulah yang ku kagumi iaitu masih tidak alpa untuk menunaikan tanggungjawab sebagai hamba Allah di muka bumi. Allah sangat suka orang-orang yang soleh. Moga kekal thabat(tetap) dijalanNya.

                                 Video Program Misi Kembara Kehidupan di Bumi Aussie

Apabila kita berada di negara bukan Islam, kita nampak Islam itu hidup. Melihat sendiri kehidupan golongan Islam yang minoriti berupaya untuk tinggal di sini dan menyebarkan dakwah dan sebilangan penduduk di Australia mudah menerima Islam,  mahasiswa lain juga mampu menjadi daie yang boleh memimpin dan menyebarkan Islam di mana sahaja dengan memberikan tauladan yang baik. InsyaAllah.
Hanya Allah je yang tahu betapa maksimanya syukurku padaNya. 

"الحمد لله الَذي بنعمته تتم الصالحات"
Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatnya, telah menyempurnakan kebaikan.

Dan tahun keempat? Hehe InsyaAllah fiza akan update untuk berkongsi pengalaman yang seterusnya. Salam sahabat yang ceria dari saya, Nur Hafizah Othman.